PUJI-PUJIAN YANG MEMBAWA BENCANA
Tidak salah memberi pujian pada tempatnya. Namun ianya amat
berbahaya jika ianya diberikan secara melampau dan berlebih-lebihan. Kesan
bahaya tersebut lebih berbekas kepada orang yang dipuji berbanding dengan orang
yang memberi pujian.
Sekiranya kita gagal meletakkan pujian pada tempat yang
sepatutnya, ianya boleh mendatangkan penyakit hati seperti ujub (bangga diri)
dan takabbur (sombong). Mereka yang masih menyimpan dua penyakit hati ini
hingga saat nyawanya diragut oleh Malaikat Maut, maka Allah SWT tidak berkenan
ke atasnya akan syurga Firdaus kecuali Allah SWT mengampunkan akan dosa-dosa
itu terlebih dahulu.
Puji memuji adalah suatu lumrah harian di dalam hidup kita
sebagai manusia. Ianya boleh menyebabkan sesuatu yang sihat dan juga boleh
menjadi mudharat bergantung kepada keadaan dan sesuana.
Puji memuji dilontarkan sebagai alat untuk menghargai
seseorang samaada di atas perlakuan, sikap, milikan, sifat dan sebagainya.
Apa yang menjadi masaalah ialah apabila pujian itu datangnya
daripada mereka yang tidak mengetahui atau mengenali siapa sebenarnya diri
kita. Kalau mereka mengenali diri kita yang sebenarnya, pasti mereka tidak mahu
memuji berlebih-lebihan.
Apabila kita dipuji atas sesuatu yang tidak ada pada diri kita,
maka pujian itu akan menimbulkan mudharat sehingga menjadikan kita yakin di
atas apa yang dikatakan oleh orang tersebut. Kita akan menjadi khayal dan mudah
terpengaruh dan akan timbul rasa bongkak serta bangga diri. Lebih-lebih lagi
tiupan yang deras ke telinga datangnya dari bisikan syaitan. Maka kita akan
menjadi manusia yang lalai akhirnya.
Kerap kali dengan satu pujian sahaja boleh mengakibatkan
kita berubah kepada sikap tidak jujur kepada diri kita sendiri. Sedangkan orang
memuji hanyalah membuat sangkaan kepada kita terhadap apa yang mereka lihat
dari luaran kita sahaja.
Ibnu Ajibah pernah berkata: “Janganlah engkau tertipu dengan
pujian orang lain yang menghampiri mu. Sesungguhnya mereka yang memuji tidaklah
mengetahui diri mu sendiri kecuali yang nampak sahaja bagi mereka. Sedangkan
engkau sindiri yang mengetahui isi hati mu.”
Rasulullah SAW juga pernah bersabda yang bermaksud:
“Menyukai sanjungan dan pujian membuat orang buta dan tuli.” (H.R. Ad-Dailami).
Pujian yang tidak sepatutnya itu seharusnya menjadikan diri
kita malu kerana kita tertipu dengan sesuatu yang tidak ada pada diri kita.
Kesan yang lebih parah daripada pujian ini ialah kita terbang di awang awangan
akibat kipasan yang berlebih-lebihan tersebut.
Hakikatnya kita tidak selayaknya menerima puji-pujian
berlebih-lebihan itu. Kita pun tidak pasti sama ada diri kita ini telah
bersih-sebersihnya daripada palitan sekelumit dosa lalu layak menerima semua
puji-pujian tersebut.
Kita ini manusia lemah dan segala kebaikan, kekuatan yang
kita perolehi itu hanyalah pinjaman dari Allah SWT. Ianya datang daripada Allah
SWT. Lantaran itu, setiap pujian yang dilontarkan harus dikembalikan kepada
Allah SWT. InsyaAllah kelak hati, jiwa dan diri kita akan terhindar daripada
malapetaka penyakit hati lantas terselamat di dunia dan akhirat.
Jadi marilah kita lihat bersama dan mencontohi apa yang
dilakukan oleh Abu Bakar As Siddiq ketika beliau dipuji oleh orang lain.
Apabila dipuji, maka Abu Bakar r.a pun akan berdoa: Ya Allah. Engkau lebih
mengetahui keadaan diri ku dari diri ku sendiri dan aku lebih mengetahui
keadaan diri ku daripada mereka yang memuji ku. Ya Allah. Jadikanlah diri ku
lebih baik dari yang mereka sangkakan, ampunilah aku terhadap apa yang mereka
tidak ketahui dari ku, dan janganlah menyiksa ku dengan perkataan mereka!.
Wallahua’lam.

No comments:
Post a Comment