PENGUMUMAN

Selamat datang ke Blog Surau Al-Kauthar - Pengerusi serta seluruh AJK mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke 59 pada 31 Ogos 2016 . Sambutan 10 tahun surau baru al Kauthar pada 12 hingga 14 Ogos 2016. Terima Kasih kepada para penyumbang khusus untuk Bangunan Tambahan Surau AlKauthar, Fasa 4 Bandar Baru Bangi Selangor. Program bulan Ogos 2016 Sambutan 10 tahun surau baru al Kauthar pada 12 hingga 14 Ogos 2016. Pengisian program Ceramah Perdana oleh Us Dr Abdul Basir Abd Rahman pada 14 Ogos 2016 lepas Maghrib. Bicara anak muda oleh PU Rahmat & sdra Ejam Medicine pada 12 Ogos 2016 Lepas Maghrib. Persembahan Nasyid- Dikir Barat, Pertandingan kanak-kanak, Pemeriksaan Kesihatan Percuma serta gerai-gerai jualan. Kuliah Subuh oleh Prof. Dr Abdul Basir Mohamad pada 06 Ogos 2016 dan 21 Ogos 2016, Ust Amirul Hafiz 07 Ogos 2016, Ustaz Hj Ismail Hashim 13 Ogos 2016 Us Hj Ahmad Mohd Said 14 Ogos 2016 Us Muammar Ghadafi pada 22 Ogos 2016 Karim Kechik pada 27 Ogos 2016 dan Us Khairil Khusairi Omar pada 28 Ogos 2016. SEMUA DIJEMPUT HADIR .

10 October 2012

09 October 2012

05 October 2012

mimbar jumaat



PUJI-PUJIAN YANG MEMBAWA BENCANA

Tidak salah memberi pujian pada tempatnya. Namun ianya amat berbahaya jika ianya diberikan secara melampau dan berlebih-lebihan. Kesan bahaya tersebut lebih berbekas kepada orang yang dipuji berbanding dengan orang yang memberi pujian.

Sekiranya kita gagal meletakkan pujian pada tempat yang sepatutnya, ianya boleh mendatangkan penyakit hati seperti ujub (bangga diri) dan takabbur (sombong). Mereka yang masih menyimpan dua penyakit hati ini hingga saat nyawanya diragut oleh Malaikat Maut, maka Allah SWT tidak berkenan ke atasnya akan syurga Firdaus kecuali Allah SWT mengampunkan akan dosa-dosa itu terlebih dahulu.

Puji memuji adalah suatu lumrah harian di dalam hidup kita sebagai manusia. Ianya boleh menyebabkan sesuatu yang sihat dan juga boleh menjadi mudharat bergantung kepada keadaan dan sesuana.

Puji memuji dilontarkan sebagai alat untuk menghargai seseorang samaada di atas perlakuan, sikap, milikan, sifat dan sebagainya.

Apa yang menjadi masaalah ialah apabila pujian itu datangnya daripada mereka yang tidak mengetahui atau mengenali siapa sebenarnya diri kita. Kalau mereka mengenali diri kita yang sebenarnya, pasti mereka tidak mahu memuji berlebih-lebihan.

Apabila kita dipuji atas sesuatu yang tidak ada pada diri kita, maka pujian itu akan menimbulkan mudharat sehingga menjadikan kita yakin di atas apa yang dikatakan oleh orang tersebut. Kita akan menjadi khayal dan mudah terpengaruh dan akan timbul rasa bongkak serta bangga diri. Lebih-lebih lagi tiupan yang deras ke telinga datangnya dari bisikan syaitan. Maka kita akan menjadi manusia yang lalai akhirnya.

Kerap kali dengan satu pujian sahaja boleh mengakibatkan kita berubah kepada sikap tidak jujur kepada diri kita sendiri. Sedangkan orang memuji hanyalah membuat sangkaan kepada kita terhadap apa yang mereka lihat dari luaran kita sahaja.

Ibnu Ajibah pernah berkata: “Janganlah engkau tertipu dengan pujian orang lain yang menghampiri mu. Sesungguhnya mereka yang memuji tidaklah mengetahui diri mu sendiri kecuali yang nampak sahaja bagi mereka. Sedangkan engkau sindiri yang mengetahui isi hati mu.”

Rasulullah SAW juga pernah bersabda yang bermaksud: “Menyukai sanjungan dan pujian membuat orang buta dan tuli.” (H.R. Ad-Dailami).

Pujian yang tidak sepatutnya itu seharusnya menjadikan diri kita malu kerana kita tertipu dengan sesuatu yang tidak ada pada diri kita. Kesan yang lebih parah daripada pujian ini ialah kita terbang di awang awangan akibat kipasan yang berlebih-lebihan tersebut.


Hakikatnya kita tidak selayaknya menerima puji-pujian berlebih-lebihan itu. Kita pun tidak pasti sama ada diri kita ini telah bersih-sebersihnya daripada palitan sekelumit dosa lalu layak menerima semua puji-pujian tersebut.

Kita ini manusia lemah dan segala kebaikan, kekuatan yang kita perolehi itu hanyalah pinjaman dari Allah SWT. Ianya datang daripada Allah SWT. Lantaran itu, setiap pujian yang dilontarkan harus dikembalikan kepada Allah SWT. InsyaAllah kelak hati, jiwa dan diri kita akan terhindar daripada malapetaka penyakit hati lantas terselamat di dunia dan akhirat.

Jadi marilah kita lihat bersama dan mencontohi apa yang dilakukan oleh Abu Bakar As Siddiq ketika beliau dipuji oleh orang lain. Apabila dipuji, maka Abu Bakar r.a pun akan berdoa: Ya Allah. Engkau lebih mengetahui keadaan diri ku dari diri ku sendiri dan aku lebih mengetahui keadaan diri ku daripada mereka yang memuji ku. Ya Allah. Jadikanlah diri ku lebih baik dari yang mereka sangkakan, ampunilah aku terhadap apa yang mereka tidak ketahui dari ku, dan janganlah menyiksa ku dengan perkataan mereka!.

Wallahua’lam.



Mimbar Jumaat



Tazkirah Jumaat

11 jenis manusia didoa Malaikat

PERCAYA kepada malaikat adalah antara rukun iman. Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk manusia dan sudah tentu seseorang yang didoakan malaikat mendapat keistimewaan. Dalam hidup, kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang kian mencabar. Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan.Kali ini saya ingin menyenaraikan antara jenis manusia yang akan menerima doa malaikat.  Ketika itulah sewaktu kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat.
Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:

1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: "Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci."

 

2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: 'Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.'"

3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan."

4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf).

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf."

5. Kalangan malaikat mengucapkan 'amin' ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Jika seorang imam membaca...(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu 'aamiin' kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu."

6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat."

7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal.
"Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: "Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?"
Mereka menjawab: 'Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.'"

8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata 'aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.'"

9. Orang yang membelanjakan harta (infak).

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: 'Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak...' "

10. Orang yang sedang makan sahur.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur."

11. Orang yang sedang menjenguk (melawat) orang sakit.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh."
Itulah antara mereka yang mendapat doa malaikat. WAllahu'alam.Semoga kita termasuk dan tersenarai sama. InsyaAllah

Di petik dari sumber oleh Haji Zulkifli Salleh




08 September 2012

SOLAT HAJAT

Sekolah Menengah Jalan Empat Bandar Baru Bangi dengan kerjasama Surau  Al-Kauthar akan mengadakan program Bacaan Yasin dan Solat Hajat sempena SPM 2012:
         Pada       : 20 September 2012 (Khamis)
         Bermula daripada Maghrib
         Sasaran : Pelajar Menengah yang akan mengambil peperiksaan SPM/ STPM 2012

Ibu bapa pelajar, Muslimin Muslimat adalah di jemput hadir.

Pada 21 September 2012 (Jumaat) akan diadakan Majlis Qiyamulail bermula jam 4.30 pagi bagi murid-murid Tingkatan 2 Sekolah Menengah Jalan Empat Bandar Baru Bangi Selangor sehingga 22 September 2012 (Sabtu).

Ceramah motivasi kepada para pelajar telah disampaikan oleh ustaz Hj Ismail bin Hj Hashim


Pengerusi dan AJK Surau serta Ahli Kariah Surau mendoakan kejayaan semua pelajar dalam Peperiksaan UPSR, UPSRA, PMR , SPM & STPM pada tahun ini.















07 September 2012

KEM BESTARI SOLAT

Sekolah Kebangsaan Jalan Empat Bandar Baru Bangi dengan kerjasama Surau Al-Kauthar akan mengadakan program Kem Bestari Solat pad tarikh berikut:
          Pada     : 13 September, 2012 (Khamis)
         Jam       :  1.00 tengahari hingga 6.00 petang
         Sasaran peserta: Murid Sekolah Rendah


Muslimin dan Muslimat dijemput hadir bagi keprogram tersebut.


         



KULIAH MAGHRIB


Surau Al-Kauthar akan mengadakan Kuliah Maghrib bersama Syeikh Al-Aqsa Raed Solah pada 11 September, 2012 (Selasa) selepas Solat Maghrib kerjasama antara Aman Palestin dengan surau. Raed Solah adalah salah seorang tokoh perjuangan Pembebasan Baitul Maqdis dan orang pertama menjumpai terowong di bawah Masjid Al-Aqsa . Pernah keluar masuk penjara Israel serta menjadi buruan utama rejim Israel. Berikrar dan berjanji untuk bersedekahkan umur dan waktu yang ada untuk Al Quds dan Masjid Al-Aqsa demi kerana ALLAH.

Semua Muslimin dan Muslimat dijemput hadir dan bawalah sumbangan untuk Tabung Pembebasan Palestin untuk diinfakkan kepada perjuangan rakyat Palestin.









02 September 2012

PERJUMPAAN SILATURAHIM DAN HARIRAYA


Pengerusi dan AJK Surau Al-Kauthar mengucapkan Selamat Hari Raya Idulfitri 1433H Maaf Zahir Batin serta  menjemput semua Anak Kariah Surau dan Keluarga ke Majlis Perjumpaan Silaraturahim dan Perjumpaan Hari Raya Surau pada 2 September 2012 (Ahad) di Perkarangan Surau Al-Kauthar selepas Isyak.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...